Bukan dibawah bidang kuasa JAKOA untuk meluluskan aktiviti perlombongan diperkampungan Orang Asli

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menafikan sudah meluluskan permohonan pihak ketiga untuk menjalankan kajian bagi tujuan perlombongan di Pos Lanai, Kuala Lipis, Pahang.

Ketua Pengarahnya, Prof Dr Juli Edo, berkata semua kelulusan aktiviti di kawasan hutan atau tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan JAKOA tidak mempunyai kuasa meluluskan sebarang aktiviti itu.

 

Justeru, katanya, surat kebenaran bertarikh 17 Jun lalu yang dikeluarkan JAKOA untuk pihak syarikat memasuki kawasan perkampungan Orang Asli sekitar Hutan Jelai, Daerah Lipis adalah semata-mata untuk menjalankan kajian Impak Alam Sekitar (EIA).

“Melalui surat kebenaran itu, JAKOA turut menetapkan syarat kepada pihak syarikat untuk memaklumkan pelaksanaan kajian kepada Pejabat Tanah Daerah Lipis terlebih dahulu memandangkan status kawasan Orang Asli tersebut adalah tanah kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Juli merujuk kepada laporan media tempatan semalam, mengenai Orang Asli Pos Lanai membantah rancangan perlombongan yang menyatakan JAKOA meluluskan permohonan pihak ketiga untuk menjalankan kajian bagi tujuan perlombongan di kawasan tersebut.

Beliau berkata, syarikat tersebut juga dipohon untuk merujuk kepada JAKOA Pahang, JAKOA Daerah Lipis dan Tok Batin kampung yang terbabit terlebih dahulu sebelum masuk ke lapangan.

JAKOA turut memaklumkan menerima kehadiran kumpulan berkenaan di pejabat dan perbincangan diadakan bagi menerangkan perkara sebenar mengenai surat kebenaran pelaksanaan EIA yang dikeluarkan dan tiada memorandum diterima semasa sesi perbincangan tersebut, katanya. – BERNAMA

Bukan dibawah bidang kuasa JAKOA untuk meluluskan aktiviti perlombongan diperkampungan Orang Asli.

Posted by Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) on Wednesday, September 9, 2020

Kemaskini Terakhir :