| | |

Perancangan & Penyelidikan

Laman Utama » Perancangan & Penyelidikan

Pengenalan

 

Bahagian Perancangan dan Penyelidikan berperanan membuat perancangan jangka pendek dan panjang secara makro serta menggubal dasar pembangunan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Ia sejajar dengan dasar pembangunan negara ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi dan kemajuan Orang Asli seiring dengan arus perdana. Bahagian ini juga menganalisa, mengumpul dan mengemaskini data-data dan maklumat masyarakat orang Asli untuk kegunaan rasmi.

 

Bahagian ini juga turut mengurus, menyelaras dan memantau aktiviti penyelidikan dan program khidmat masyarakat mengenai Orang Asli yang dilaksanakan oleh sektor awam/swasta, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, NGO dan penyelidik dari dalam dan luar negara. Perpustakaan dan Muzium Orang Asli juga berada di bawah tanggungjawab bahagian ini dalam mengurus dan merancang pengumpulan/pemeliharaan artifak, pengembangan kebudayaan, kesenian, pengetahuan tradisional dan sebagai pusat sumber rujukan dalam memartabatkan warisan Orang Asli. Seksyen Perangkaan bertanggungjawab dalam menguruskan maklumat berkaitan statistik Orang.

 

Pencapaian tahun 2019

 

Bahagian Perancangan dan Penyelidikan melalui Unit Dasar bertindak sebagai suatu entiti yang bertanggungjawab bagi merancang, merangka dan dan menguruskan hal ehwal dasar-dasar kerajaan mahupun antarabangsa berkaitan dengan Orang Asli.

 

Konvensyen Orang Asli Kebangsaan (KOAK 2019) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya

 

Konvensyen Orang Asli Kebangsaan (KOAK) 2019 ini telah dirasmikan oleh YAB Tun Dr Mahathir Bin Mohamad di PICC, Putrajaya pada 22 April 2019 manakala majlis penutup disempurnakan oleh YB Senator P. Waytha Moorthy, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Seramai 1,069 peserta yang terlibat dalam konvensyen tersebut terdiri daripada Pemimpin Orang Asli (Tok Batin & Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli (MPKKOA), Profesional Orang Asli, Belia Orang Asli, Wanita Orang Asli, Ahli Akademik, SUHAKAM, NGO Orang Asli dan Agensi Kerajaan yang berkaitan.

 

Konvensyen ini bertujuan untuk mendapatkan input dan maklumbalas daripada masyarakat Orang Asli dan pihak berkepentingan bagi membentuk resolusi ke arah penyediaan Pelan Pembangunan Orang Asli Nasional yang lebih komprehensif dan pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) bagi menjamin hak masyarakat Orang Asli. Sebanyak 7 fokus tema resolusi dibincangkan iaitu Tanah, Pendidikan, Kesihatan, Ekonomi, Kepimpinan, Infrastruktur dan Kebudayaan sepertimana Manifesto Janji 38, Kerajaan Pakatan Harapan. Sebanyak 136 resolusi telah dipersetujui mengikut tema.

Sambutan Hari Orang Asal di Padang TNB, Kuala Woh, Tapah, Perak

 

JAKOA telah mengadakan Sambutan Hari Orang Asli 2019 pada 10 hingga 16 September 2019 bersempena dengan Sambutan Hari Orang Asal Sedunia yang bertemakan Memperkasakan Bahasa dan Budaya Orang Asli di Padang TNB, Kuala Woh, Tapah, Perak.

 

Sambutan ini melibatkan seramai 23,395 masyarakat Orang Asli setempat bersama penyertaan daripada beberapa agensi kerajaan JAKOA, Jabatan Perdana Menteri, agensi-agensi kerajaan Daerah Batang Padang, Tapah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Persatuan Pembangunan Orang Asli Malaysia, Persatuan Orang Asli Perak, SUHAKAM dan Radio Televisyen Malaysia Asyik.fm.

 

Antara objektif utama Sambutan Hari Orang Asal 2019 adalah untuk mengetengahkan keunikan kebudayaan pelbagai etnik, warisan, bahasa, kepercayaan dan amalan masyarakat Orang Asli yang berbilang kaum yang berada di Semenanjung Malaysia. Sambutan ini turut disertai oleh kumpulan kebudayaan Sewang Orang Asli dan penampilan pakaian tradisional Orang Asli dari beberapa daerah di Negeri Perak menerusi pertandingan Sewang dan Pakaian tradisional. Selain itu, persembahan artis dan kumpulan muzik dari masyarakat Orang Asli serta artis jemputan menambahkan kemeriahan sepanjang sambutan ini.

Bengkel Pelan Pembangunan Nasional Orang Asli (PPNOA) 2019 di Hotel Dorsett Putrajaya

 

Bengkel Pelan Pembangunan Nasional Orang Asli (PPNOA) telah diadakan pada 29 hingga 31 Oktober 2019 selama 3 hari 2 malam di Hotel Dorsett, Putrajaya yang melibatkan Kementerian, Agensi Persekutuan dan Negeri. Seramai 8 orang fasilitator dan 8 orang rapporteur bagi membantu pelaksanaan bengkel ini. Mereka bertanggungjawab terhadap perincian resolusi 7 fokus utama konvensyen –  Tanah, Pendidikan, Infrastruktur, Ekonomi, Kepimpinan, Kebudayaan dan Kesihatan. Bengkel ini turut menjemput 22 subject matter experts (SMEs) iaitu daripada kalangan ahli akademik dan professional bagi memberi pandangan untuk setiap Focus Group.

 

Penganjuran bengkel ini adalah rentetan daripada Konvensyen Orang Asli Kebangsaan (KOAK) 2019 lalu yang bertujuan untuk mendapatkan input daripada masyarakat Orang Asli dan pihak berkepentingan berhubung isu, cabaran dan hala tuju pembangunan Orang Asli. PPNOA ini adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals (SDGs)) atau Agenda Global sehingga tahun 2030. Ia juga adalah bagi pembentukan Pelan Strategik JAKOA 2021 hingga 2025 dan input untuk Rancangan Malaysia Kedua belas (RMKe-12). 

 

Sebanyak 136 resolusi telah dicapai yang meliputi 7 bidang fokus utama konvensyen . Pelan yang dirangka berasaskan resolusi yang dicapai dan sejajar dengan Pendekatan Berasaskan Hak Asasi Manusia (PBHAM) serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs-2030). Pelan ini bertujuan untuk memastikan setiap program pembangunan dan kebajikan yang dirancang akan memberi faedah kepada masyarakat Orang Asli dengan tidak mengenepikan kepentingan dan memelihara perkara-perkara asas berkaitan mereka melalui prinsip berasaskan Izin, Makluman Awal, Bebas dan Telus (IMABT).

.

Bahagian Perancangan dan Penyelidikan melalui Unit Kajian dari Seksyen Penyelidkan berperanan sebagai pemantau penyelidikan/program Corporate Social Responsible (CSR) yang dijalankan oleh institusi atau agensi yang berkaitan dengan Orang Asli.

 

Permohonan Anak Angkat Orang Asli

 

Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JAKOA telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pengambilan anak angkat Orang Asli untuk kelulusan Ketua Pengarah JAKOA selaras dengan Akta 134 di bawah Seksyen 18 (1). Bagi tahun 2019, sebanyak 10 permohonan anak angkat yang telah diterima oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan untuk diproses dan telah diluluskan oleh Ketua Pengarah JAKOA. Daripada 10 permohonan diterima, 5 permohonan daripada JAKOA Negeri Pahang, 3 permohonan daripada JAKOA Negeri Selangor dan 2 permohonan daripada JAKOA Negeri Sembilan.

Program Umrah Jelajah Kasih Andalusia  

 

Program Jelajah Kasih Andalusia merupakan kerjasama pihak Andalusia travel and tour bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi membawa asnaf terpilih untuk menunaikan umrah. Seramai 394 jemaah asnaf merangkumi penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), masyarakat orang asli dan mualaf, dipilih dari seluruh negara untuk menyertai Program Umrah Jelajah Kasih CSR Asnaf mulai 24 April hingga 8 Mei ini. Daripada 394 Jemaah yang dipilih, 40 orang daripadanya merupakan Jemaah daripada kumpulan masyarakat Orang Asli. Selain berada di Mekah, Jemaah juga akan di bawa ke Madinah dan akan merasai pengalaman berpuasa di sana selama 2 hari.

Program Melestarikan Bahasa Sukuan dan Bahasa Daerah (Bahasa Kanaq)

 

Pada 25 hingga 28 Ogos 2019, JAKOA dengan kerjasama pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan satu program kajian bahasa masyarakat Orang Asli iaitu Bahasa Kanaq di Kampung Orang Asli Sungai Selangi, Kota Tinggi, Johor. Seramai 40 orang pelajar dari Kolej Pengajian Islam Johor dan Institut Perguruan Johor Bahru terlibat dalam kajian ini. Hasilnya, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka telah memasukkan bahasa masyarakat Orang Asli Kanaq ke dalam laman web Dewan Bahasa Dan Pustaka.  Para pelajar diagihkan kepada beberapa kumpulan mengikut empat tema kajian dan dipantau oleh fasilitator daripada DBP. Semua peserta dibimbing oleh Dr. Sharifuddin Yusuf, bekas pensyarah dan Profesor Madya di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, Serdang. Seramai lapan orang informan dalam kalangan orang Asli Kanaq terlibat membantu menjayakan program ini.

 

Majlis penutupan program yang dilaksanakan pada 28 September 2019 telah dirasmikan oleh Prof. Dr. Rahmah binti Ahmad H. Osman, Pengarah, Bahagian Education Malaysia, Jabatan Pendidikan Tinggi, KPM. Tetamu kenamaan yang turut hadir ialah Tuan Hj. Johari bin Md Hasan, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP, Encik Suhairi bin Suhaimi, mewakili Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Prof. Dr. Abdul Ghafar bin Ismail, Rektor Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH), Dr. Mazlan bin Aris, Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim, Johor, dan Puan Norhafizah binti Mohamed Husin, Pengarah DBP Wilayah Selatan.

Program Bersama Rakyat di KOA Peta, Mersing, Johor

 

Susulan daripada mesyuarat antara Jabatan Kemajuan Orang Asli dengan Jabatan PERHILITAN di Ibu Pejabat JAKOA pada 19 Julai 2019, satu program telah diadakan bertujuan untuk memberi penerangan mengenai kesedaran tentang kesalahan pemburuan hidupan liar bagi mengelakkan kepupusan. Pemilihan Kampung Orang Asli Peta, Daerah Mersing bagi program ini berdasarkan kedudukannya yang terletak di dalam kawasan Taman Negara Endau – Rompin. Pelaksanaan program ini pada 23 – 25 September 2019. Program dengan kerjasama daripada UNIKL Cawangan Malaysian Italy Design Institute bertujuan meningkatkan ekonomi Orang Asli memandangkan Kampung Orang Asli Peta ini berada di kawasan Taman Negara yang menjadi nadi kepada pusat eko pelancongan. Untuk penutupan program ini, ia telah disempurnakan oleh YBrs. Ketua Pengarah JAKOA Prof Dr. Juli Edo.

Program Bersama Masyarakat Orang Asli KOA Sungai Kucing, Jerantut, Pahang

 

Program  bersama rakyat adalah di bawah Program Pembangunan Kapasiti dan Kapabiliti (PPKK) untuk masyarakat Orang Asli. Program ini merupakan satu platform untuk pihak Jabatan untuk beramah mesra dan bersua muka bersama masyarakat Orang Asli daripada pelbagai golongan. Pelaksanaan program ini pada 30 September 2019 sehingga 2 Oktober 2019. Melalui program seperti ini, ia secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara Jabatan dan mengetahui dengan lebih jelas permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat kampung. Untuk penutupan program ini, ia telah disempurnakan oleh YBrs. Ketua Pengarah JAKOA Prof Dr. Juli Edo.

Program Bersama Rakyat Sub Aktiviti Mesra Minda Bersama Masyarakat Orang Asli di Perkampungan Orang Asli RPS Kemar, Gerik, Perak

 

Pada 14 hingga 15 Oktober 2019, Program bersama rakyat (PBR) yang merupakan salah satu program di bawah Program Pembangunan Ekuiti, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi khusus untuk masyarakat Orang Asli telah diadakan  di RPS Kemar, Gerik, Perak melibatkan 4,500 orang penduduk kampung dari 15 kampung sekitar RPS Kemar. Program ini telah mendapat kerjasama daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Agama Islam Perak dan Universiti Kuala Lumpur. Antara pengisian program yang dijalankan adalah hari bertemu pelanggan bersama Jabatan Pendaftaran Negara, pemeriksaan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, taklimat pencegahan jenayah dan pameran oleh Polis Diraja Malaysia dan program rohaniah bersama Jabatan Agama Islam Perak. Majlis penutupan program ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ketua Pengarah JAKOA.

.

Program Bersama Rakyat Sub Aktiviti Mesra Minda Bersama Masyarakat Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Sungai Kejar, Gerik, Perak

 

Pada 18 hingga 20 September 2019, Program bersama rakyat (PBR) telah diadakan di Perkampungan Orang Asli Sungai Kejar, Gerik, Perak. Program ini adalah program anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli dengan kerjasama Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Program seperti ini merupakan satu platform untuk JAKOA beramah mesra bersama masyarakat Orang Asli di sana dari pelbagai golongan. Antara pengisian program ialah program motivasi untuk pelajar dan ibu bapa bagi permasalahan keciciran pelajar dan sesi perkongsian ilmu bersama pihak Dewan Bahasa Dan Pustaka, hari bertemu pelanggan bersama Jabatan Pendaftaran Negara dan program rohaniah bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh YBrs. Ketua Pengarah JAKOA Prof Dr. Juli Edo.

Bahagian Perancangan dan Penyelidikan melalui Unit Warisan dan Budaya/ Muzium Orang Asli bertanggungjawab mengurus dan merancang pengumpulan dan pemeliharaan artifak, pengembangan kebudayaan, kesenian, pengetahuan tradisional dalam memartabatkan warisan Orang Asli.

 

Lawatan Sambil Belajar Dari Kolej Sains Kesihatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Di Muzium Orang Asli Gombak

 

Pada 6 Ogos 2019, Muzium Orang Asli Gombak telah menerima lawatan dari pihak Kolej Sains Kesihatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bersempena program lawatan sambil belajar.  Lawatan ini telah diadakan sebanyak dua sesi untuk pelajar yang berlainan.  Objektif lawatan ini adalah untuk memenuhi objektif mata pelajaran Pengajian Malaysia II dan menekankan kepentingan semangat integrasi dan perpaduan di kalangan pelajar.  Lawatan ini diiringi oleh beberapa kakitangan dan pensyarah kolej telah diakhiri dengan nasihat dan beberapa nilai murni yang perlu diterapkan serta dipraktikkan kepada masyarakat Orang Asli.

Lawatan Kelab Student Indigenious of People (SIP) Universiti Teknologi Mara di Muzium Orang Asli Gombak

 

Pada hari Ahad 20 Oktober 2019, Kelab Student Indigenious of People (SIP) Universiti Teknologi Mara Cawangan Pahang yang terdiri daripada anak-anak orang asli dari pelbagai suku kaum telah mengadakan Program Perkongsian Pintar Dan Bicara Intelek Kurator di Muzium Orang Asli.  Seramai 35 orang peserta telah turut serta dalam lawatan ini dan diiringi oleh beberapa kakitangan Universiti dan pensyarah yang bertanggungjawab dalam rombongan kumpulan pelajar ini dan lawatan telah diakhiri dengan nasihat dan beberapa nilai-nilai murni yang perlu diterapkan serta dipraktikkan kepada masyarakat Orang Asli.

Lawatan Majlis Kebudayan Negeri Selangor Sempena Program Kembara Rentak Selangor (KRS) di Muzium Orang Asli Gombak

 

Pada 23 Oktober 2019, pihak Majlis Kebudayaan Negeri Selangor (MKNS) dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN), Pejabat EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Negeri Selangor serta Gaya Travel Magazine telah mengadakan satu aktiviti Persembahan Kebudayan serta Makanan Di Muzium Orang Asli Gombak dalam program Kembara Rentak Selangor (KRS) meliputi daerah Gombak dan juga merupakan program peringkat Negeri Selangor.  Program ini juga terdiri dari bloggers, influencers, media dan penulis-penulis yang lain.

Lawatan Kanak-Kanak Pra Sekolah My Montessori di Muzium Orang Asli Gombak

 

Satu lawatan sambil belajar kanak-kanak pra sekolah MY MONTESSORI dari Bandar Sg. Long, Kajang, Selangor ke Muzium Orang Asli Gombak pada hari Khamis, 12 Disember 2019.  Rombongan ini disertai 50 orang kanak-kanak pra sekolah dan 10 orang guru pengiring.  Tujuan lawatan ini adalah untuk memberi peluang kepada kanak-kanak ini untuk mempelajari dan merasai sendiri hidup dan budaya masyarakat Orang Asli yang lain daripada rutin seharian kehidupan mereka.  Aktiviti yang diatur untuk program ini amat bersesuaian untuk kanak-kanak dalam lingkungan umur 4 hingga 6 tahun. 

.

Statistik Jumlah Pelawat ke Muzium Orang Asli Gombak tahun 2019

 

Jumlah pelawat ke Muzium Orang Asli Gombak yang paling tinggi sepanjang tahun 2019 adalah pada bulan November iaitu seramai 1,132 orang pelawat. Hal ini berikutan bulan November bermula cuti persekolahan. Graf juga menunjukkan peningkatan jumlah pelawat ke Muzium Orang Asli Gombak bermula bulan Ogos hingga November.

Carta : Jumlah Pelawat Muzium Orang Asli mengikut bulanan tahun 2019

 

 

 

Bahagian Perancangan dan Penyelidikan melalui Seksyen Perangkaan bertanggungjawab dalam merancang, menyelaras dan memantau proses pengumpulan dan pengemaskinian data berkaitan dengan Jabatan dan masyarakat Orang Asli. Selain itu, seksyen ini juga menyelaras permintaan data Orang Asli daripada pengguna dalaman (JAKOA) dan pengguna luar (agensi kerajaan, swasta, NGO, pelajar). Penyelarasan sistem berkaitan data Orang Asli seperti iDamak. Sistem Profil Kampung Peringkat Nasional (SPKPN) dan Data Terbuka oleh pihak MAMPU juga dilaksanakan oleh Seksyen Perangkaan.

 

Sepanjang tahun 2019, seksyen ini banyak melaksanakan kerja-kerja pemutihan data dalam Sistem iDamak. Sistem ini adalah sebuah sistem bersepadu yang menggabungkan data-data berkaitan demografi, pendidikan, modal insan, ekonomi, dan infrastruktur bagi masyarakat dan perkampungan Orang Asli

 

Taklimat dan Banci Penduduk Bagi Anggota Pasukan Gerakan Am di Kem Batalion 3, PGA Bidor Perak

 

Seksyen Perangkaan telah bersama – sama pentadbiran JAKOA Daerah Batang Padang & Muallim telah menyampaikan taklimat pengisian borang banci dan menjalankan banci penduduk bagi anggota – anggota pasukan gerakan am PGA Batalion 3, Bidor Perak. Taklimat dan banci tersebut telah diadakan bagi memastikan setiap kawasan atau penempatan masyarakat Orang Asli di jalankan pungutan data dan maklumat mereka di rekodkan di dalam sistem iDamak.

 

Taklimat dan banci PGA Batalion 3 Bidor ini telah diadakan pada 14 Februari 2019 melibatkan seramai lebih kurang 200 orang anggota. Taklimat ini turut dihadiri oleh pegawai pemerintah tertinggi PGA BN 3,  wakil dari Seksyen Perangkaan Ibu Pejabat diketuai oleh En. Mohd Azahar Bin Ab Manaf, Pegawai Orang Asli Daerah Batang Padang dan Muaalim dan pegawai JAKOA di peringkat Ibu pejabat dan Daerah.

 

Program ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pegawai pemerintah PGA BN 3 Bidor dan seterusnya taklimat disampaikan oleh En. Mohd Azahar Bin Ab Manaf Ketua Seksyen Perangkaan Ibu Pejabat berkaitan pengisian maklumat dalam borang banci. Semua anggota yang hadir telah diedarkan borang banci dan pelekat nombor kediaman untuk diisi maklumat yang diperlukan sebelum dikumpulkan. Hasil program ini semua anggota masyarakat Orang Asli dan keluarga yang berkhidmat di PGA BN 3 Bidor telah berjaya dibanci dan maklumat mereka telah dimasukkan ke dalam sistem iDamak.

Lawatan Muhibah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ke Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA)

 

Pada 12 Julai 2019, satu sesi lawatan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ke JAKOA Ibu Pejabat bertempat di Bilik Mesyuarat Patawali, JAKOA. Pihak DOSM diketuai oleh Pn. Siti Asiah Binti Ahmad, Pengarah Kanan Bahagian Perangkaan Harga, Pendapatan dan Perbelanjaan, Bahagian Perangkaan Penduduk dan Demografi serta wakil dari Bahagian Perangkaan Harga dan Pendapatan DOSM. Manakala JAKOA diketuai oleh En. Raja Mohd Shahrul Iezwan Bin Raja Mohd Zein Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan serta pegawai – pegawai JAKOA Ibu Pejabat yang lain.

 

Lawatan ini bertujuan memaklumkan pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020), Banci Percubaan 2019 dan Banci Optimum yang akan dijalankan di perkampungan Orang Asli. Selain itu lawatan ini juga turut membincangkan kerjasama strategik bagi pelaksanaan operasi Banci 2020 dan perkongsian data masyarakat Orang Asli di Malaysia. Hasil dari lawatan ini berjaya menghasilkan kerjasama yang lebih erat antara JAKOA dan DOSM bagi memberi manfaat kepada kedua dua agensi dan kumpulan sasar.

Program Seminar Pencarian Maklumat kepada Pelajar Orang Asli Kampung Batu 12, Gombak

 

Pada 13 April 2019, Perpustakaan Orang Asli Gombak telah menganjurkan Seminar Pencarian Maklumat yang telah dihadiri oleh seramai 25 pelajar masyarakat orang asli Kampung Batu 12, Gombak di Auditorium Muzium Orang Asli Gombak. Seminar yang diisi dengan lima jenis modul ini telah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Encik Yazid bin Ibrahim, Penolong Pengarah Kanan S44 daripada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Seminar ini diadakan bermula jam 8.00 pagi sehingga jam 1.00 tengah hari.

 

Sasaran seminar ini adalah untuk Pelajar orang asli yang sedang menghadapi Perperiksaan STPM, SPM, PT3 dan UPSR. Selain itu, seminar ini dapat berkongsi ilmu dan kepakaran yang dimiliki dalam sistem pencarian dan meningkatkan kefahaman dan kemahiran pencarian maklumat dengan lebih berkesan sebagai persediaan menghadapi perperiksaan. Unit Perpustakaan berharap program ini dapat membantu memudahkan proses pencarian maklumat di Perpustakaan bagi pelajar sekolah yang akan menghadapi peperiksaan penting pada masa hadapan.

Program Melestarikan Bahasa Sukuan, Bahasa Daerah, Bahasa Orang Asli

Kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), JAKOA dan Kementerian Pendidikan pada 22 hingga 27 September 2020 di KOA Sungai Pergam, Kemaman, Terengganu.

Kemaskini Terakhir :

Skip to content